Tanah Melayu Merdeka, Istilah Bumiputra Dan Amanah Saham Nasional 1982 (4)

Istilah “Melayu” sejak Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula), yang bertukar namanya kepada Persekutuan Tanah Melayu (PTM) apabila Merdeka 1957 dan menjadi Semenanjung Malaysia dengan penubuhan Malaysia 1963, ialah suatu bangsa yang hanya berada di Semenanjung Malaysia sahaja. Istilah Bumiputra (ringkasnya di sini BP, walaupun sepatutnya Bumiputera) dan Pribumi (ringkasnya di sini PB, walaupun sepatutnya Peribumi) dicipta bagi tujuan pengukuhan takrif Melayu yang baru itu. Perkataan BP tidak perlu dicipta kerana perkataan pribumi sudah ada sebelum itu (di Indonesia) tetapi kerana swa-bangga atau jahil agaknya, perkataan BP diciptakan juga pada 1957 dahulu khusus untuk kumpulan “Melayu Semenanjung Tanah Melayu yang bukan Islam”, iaitu “Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu” dan “Orang dari Alam Melayu yang bukan Islam”.


Kemudian apabila Malaysia diwujudkan BP sudah menjadi dirasai sinonim dengan “Orang Asli Semenanjung Malaysia” dan tidak sesuai dipakai di Sabah dan Sarawak pula. Gantinya, natif kedua-dua negara itu diistilahkan sebagai Peribumi atau Pribumi.

Sejak 1970-an, terutamanya dari kalangan orang bukan Melayu di Malaysia (yang lebih gemar/selesa berbahasa Inggeris daripada bahasa Melayu atau bahasa ibundanya) sering memendekkannya Bumiputera kepada “Bumi” sahaja. Perkataan “Bumi” ini sebenarnya tidak begitu disenangi oleh ramai orang Melayu kerana kependekan itu seolah-olah rendah tarafnya (menghina) yang mungkin tidak disedari sepenuhnya oleh mereka yang terutamanya biasa dengan bahasa Inggeris: Bumi dan Non-Bumi. Perkara yang agak sama statusnya berlaku untuk istilah “bahasa Melayu” yang sering dipendekkan oleh kumpulan yang sama sebagai “bahasa” sahaja. (cth. “we speak bahasa”).

Sejak wujudnya Amanah Saham Nasional 1982, yang ditujukan kepada Bumiputera dan Peribumi sahaja tetapi kemudiannya beberapa suku kaum bukan Melayu, bukan Orang Asli atau bukan natif Sabah atau Sabah “mendesak” kerajaan untuk turut diizinkan menikmati sekim pelaburan itu, maka dengan “semangat BN” kerajaan telah memperluaskan makna Bumiputera kepada suku kaum Cina Baba, Siam dari keturunan semasa Kelantan-Kedah-Perlis di bawah Siam dahulu lagi, Portugis keturunan zaman Kesultanan Melaka dahulu (yang tidak rasminya dinamai bangsa Gerago), dan Gurkha bekas tentera Inggeris dahulu. Ini bolehlah distilahkan sebagai “Bumiputera politik”. Kini, dengan kuasa media massa, ahli- ahli politik dari Semenanjung, istilah “Peribumi” kini sudah hampir sinonim dengan “Bumiputera” tetapi dengan kemenangan, kepopularan berpihak kepada “Bumiputera” .

Oleh : Shaharir Mohamad Zain
Sumber : http://www.kesturi.net/archives/366


Post a Comment

Lebih baru Lebih lama