Keturunan Bangsa Melayu (Asal Usul Melayu Bagian Kedua)

Sementara itu, teori sejarawan Muslim Arab abad ke-13M, Ali Ibn al-Athir yang terkenal dengan karya agungnya al-Kamil fi al-Tarikh (Sejarah Lengkap) yang menyatakan “Bangsa Jawi” (istilah Arab untuk bangsa di Gugusan Pepulau Melayu atau Kepulauan Melayu ini) berasal dari keluarga Nabi Ibrahim ‘alais menerusi isteri ketiganya yang bernama Qanturah (dieja juga dengan Qatura atau Ketura) adalah lebih terandalkan daripada teori “Melayu dari Yunan” atau dari selatan itu (Cerita ini banyak dipetik orang seperti Noorzihan 2005 dan naiffusDamha 2004a,b).


Penghijrahan keturunan Nabi Ibrahim ‘alais ini tentunya menerusi benua atau lautan Hindia/India, kemudian ke Indocina dan seterusnya ke Alam Melayu ini, bukannya menerusi Yunan di benua China, dan ini sesuai pula dengan mitos-mitos peribumi di Indocina dan “Melayu” sendiri. Dalam makalah yang dipaparkan oleh NaiffusDamha (2004a) dalam ruangan bulannya di internet itu, memang terdapat pernyataan kemungkinan penghijrahan itu berlaku mengikut darat menerusi Benua Hindia ke Tibet sebelum ke “Semenanjung Melayu” (yang boleh menyokong teori “Melayu dari Yunan”). Namun penghijrahan menerusi lautan Hindia yang juga dikatakan berlaku itu lebih munasabah lagi. Malah sumber itu menyebut penghijrahan menerusi lautan Hindia itu diketuai oleh seorang yang bernama Mus dan sampai di Palembang dan meninggalkan nama sebuah sungai di sana, Sungai Musi, sampai sekarang. Ini lebih kukuh lagi kerana mengikut Ibrahim (1950/1961) keturunan orang inilah yang berhijrah kemudiannya ke “Semenenajung Melayu”.

Dalam buku Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 ada diceritakan asal-usul “raja Melayu” pertama (di Palembang) dari keturunan putri Hindia bernama Puteri Syahrul Bariyyah dengan Raja Iskandar Dzulqarnyn (= nama Inggerisnya Alexandre the Great, pahlawan Yunani dari Makedonia itu), manakala mitos yang serupa berlaku dalam sejarah tamadun “rumpun Melayu” yang terawal, iaitu tamadun Kerajaan Funan, Kerajaan Campa dan Kerajaan Langkasuka sejak abad ke-1M lagi itu (Kerajaan-Kerajaan ini diperihal selepas ini). Teori al-Athir dan Tun Sri Lanang itu ada keserupaannya dengan teori yang dipaparkan oleh de Eredia awal abad ke-17M, seorang pegawai Portugis di Melaka (juga seorang ahli matematik kejuruteraan ukur), yang mengatakan “Melayu” (ejaan Portugisnya Malaio) berasal dari suku kaum Attayo/Attay/Cattayo di Serica negeri Scyth/Scythia di Parsi (Iran) yang juga menjadi keturunan orang Yunani (Lihat MBRAS 1610/1997). Minat de Erredia kepada “Melayu” boleh difahami kerana beliau boleh dianggap seorang Bumiputera kerana emaknya seorang “Melayu” (bapanya Portugis). Teori penghijrahan terbaru ialah yang diutarakan oleh Oppenheimer dan jaringannya termasuk ahli arkeologi Malaysia, Prof. Zurina di USM, yang menghipotesiskan semua manusia berasal dari Afrika (yang diakuinya sebagai anak Nabi Adam dan Hawa) sehingga beliau membuktikan DNA suku kaum Semang di Semenanjung Malaysia itu serumpun dengan orang Afrika! (Oppenheimer 2003). Ini tentunya banyak menimbulkan persoalan baru lagi yang tidak dibicarakan di sini.


Oleh : Shaharir Mohamad Zain
Sumber : http://www.kesturi.net/archives/366

Post a Comment

Lebih baru Lebih lama